Friday, May 8, 2015

Ada apa dengan surah Al-Kahf??

Surah al-Kahfi..

Pengajaran Surah Al Kahf

Sedari kecil, kita selalu disuruh untuk membaca surah Al Kahf, pada hari Jumaat. 
Emak pesan!
"Hang kena baca jangan malas, nak elak fitnah Dajal!"
Hang, tahu tak dajal tu macam mana?
Dia ada mata tiga, besar dia, kalau dikumpulkan semua lautan, dia pijak paras buku lali dia je. Muka dia scaryy...
Dekat sebelah tangan dia ada syurga, sebelah lagi ada neraka. Dan vice versa sebenarnya. Yang syurga itu neraka, yang neraka itu syurga. 
Eeww.. Takutnya, ok-ok adik baca Surah Al Kahf.

Masa berlalu masa.

Sehingga umur saya menginjak ke zaman sekolah menengah dan juga zaman universiti. Hanya gambaran itu yang saya tahu apabila membaca surah Al Kahf.

Lalu apa relevannya, Nabi saw sendiri menyuruh umatnya mempelajari dan membaca surah ini sebagai pelindung kepada fitnah al-Dajjal, sedangkan al-Dajjal tak turun-turun lagi. Dalam satu hadis Nabi saw (Sahih Muslim), "Fitnah yang paling besar sejak kelahiran Adam AS hinggalah ke Hari Kiamat ialah fitnah al-Dajjal.

Lalu saya terfikir...
Bukan sekejap saya terfikir, bertahun-tahun jugalah sejak zaman sekolah lagi. Dan hari ini (Sebenarnya 3 minggu juga baca). Segala kekusutan itu terurai apabila saya meneliti satu ulasan pengajaran Surah Al Kahf yang begitu membuka mata dan menyedarkan hati, tulisan Sayed Abul Hasan Ali Nadwi dan juga Syed Qutb. Masing-masing membawa satu kesimpulan yang begitu membuka mata. Bahawa fitnah Dajjal ini bukan sekadar pada rupa bentuknya yang scarry seperti yang digambarkan oleh hadis, tetapi bahaya yang dibawanya lebih daripada itu.

Ok, mari kita go through satu persatu pengajaran surah Al Kahf ini. 

Disclaimer: 

Disebabkan kedua-dua penulis menggunakan bahasa yang agak tinggi, saya cuba memudahkannya dengan laras bahasa yang agak santai dan sempoi. 
Chill ok.

1) Overview surah

Surah Al Kahf adalah kisah perlawanan antara dua pertembungan ideologi kehidupan yang saling bercanggah. Haq dan batil. 
Faham kebendaan (materialistik) yang mengagungkan hawa nafsu vs Islam (Tunduk patuh, kepada Allah swt, seluruh aspek kehidupan)
Surah ini adalah satu manual kehidupan yang sungguh lengkap, mengajar umat manusia, bagaimana meniti hidup di akhir zaman yang penuh fitnah dan tipu daya yang maha dasyat!
Saya sebut sekali lagi, maha dasyat! Sehinggakan manusia terkeliru untuk membezakan mana yang hak dan mana yang batil. 
Ideologi yang berteraskan faham kebendaan (materialistik) yang mengakar daripada fahaman atheis (menolak tuhan) berakar umbi daripada tamadun lampau serta peranan Yahudi dalam merosakkan agama wahyu.
Disebutkan dekat sini, sebab itulah Yahudi dan Kristian boleh berkawan sekarang, sebab mereka menemui titik persamaan iaitu peradaban keinginan yang menolak semua nilai-nilai rohani dan begitu gelojoh berlumba-lumba memeluk kuasa dan kemegahan, emas & kekayaan.
Tanpa melengah-lengahkan masa lagi, kita pergi secara spesifik kepada pengajaran-pengajaran peristiwa di dalam surah ini. Bayangkan seperti anda sedang menonton movie.

Latar peristiwa di dalam surah ini dibahagikan kepada 4 bahagian
i) Kisah Ashabul Kahf - (boleh dianologikan semasa pemuda)ii) Kisah pemilik dua kebun (ketika anda mula memasuki alam pekerjaan diuji dengan kemewahan)iii) Kisah Nabi Musa dengan al Khidr (diuji dengan ilmu)iv) Kisah Dhu Al Qarnayn (ketika sudah punya kuasa dan pangkat serta jawatan yang besar) 


i) Kisah Penghuni Gua (Ujian pemuda dan Ujian akidah)

Kisah pemuda Al Kahf adalah sinonim dengan keadaan kita sebagai seorang pemuda. Ianya mengajarkan kepada kita kualiti usia muda, serta cabaran-cabaran duniawi yang dihadapi oleh pemuda pada masa sekarang. Tarikan nafsu duniawi kepada gadjet, wanita, wang, bersuka ria, hiburan (movie, game) dan sebagainya.

Di dalam kisah ini, jelas menunjukkan kepada kita kemenangan akidah vs faham kebendaan (materialistik). 

Pemuda-pemuda al Kahf, berjaya membuktikan akidah berjaya mengalahkan dorongan dan tarikan hawa nafsu. Meski mereka terpaksa memilih kemiskinan, mengucapkan selamat tinggal pada kampung halaman, sahabat handai dan kaum keluarga. Malah terpaksa juga membelakangkan penghormatan orang ramai dan rela dihina. Walaupun pada suatu masa dahulu mereka dipandang tinggi oleh masyarakat. 

Mereka tidak rela, kepercayaan kuffar itu mencemarkan jiwa dan nurani mereka yang tulus suci. Tunduk kepada kuasa-kuasa tirani beserta kebuasan nafsu manusia.

Kisah mereka berpindah ke dalam gua itu adalah kisah penghijrahan mereka yang didorong oleh kekuatan akidah! Kekuatan akidah mengerakkan mereka! Dan pilihan mereka adalah pilihan yang tepat meski mengharungi kesusahan.

*Gua itu sendiri adalah simbolik kepada perlindungan diri daripada masyarakat jahiliyah. Seperti mana , pemuda-pemuda sekarang, apabila mahu diajak membuat perkara-perkara maksiat, mereka memilih untuk menolak kerana mereka memiliki perlindungan akidah berteraskan keimanan yang kuat.

Point untuk para pemuda di sini. Penghijrahan bukanlah satu benda yang mudah! Payah! Lagi menyukarkan! Tetapi percayalah, ada kemanisan lepas kita berhijrah!

ii) Kisah pemilik dua buah kebun (Diuji dengan kemewahan)

Kisah ini amat sinonim dengan kehidupan masyarakat bekerja kelas pertengahan. Disebutkan di sini, (buku tulisan Sayed Abul Hasan Ali Nadwi) ia adalah kisah seorang lelaki yang telah berjaya mendapat kekayaan dan memiliki keselesaan hidup. Dia memiliki dua kebun anggur yang subur dikelilingi kebun-kebun kurma. Di antara kebun-kebun itu juga dia memiliki tanah ladang yang terbentang luas. Ia adalah impian lelaki kelas menengah ketika itu (seperti kita, sudah ada rumah, ada kereta mewah etc)

Kemewahan hidup mereka belum lagi melimpah ruah, tetapi sudah diuji dengan tarikan duniawi sehingga mengaburkan pandangan mata mereka dan membongakkan hati mereka. Mereka menafikan hak Allah dan hak ummat manusia ke atas diri manusia. Jika situasi pada masa sekarang, kita sibuk dengan bekerja mengejar habuan materialistik, sehingga tiada langsung masa untuk agama, program-program dakwah dan sebagainya.

Masyarakat juga mula menafikan kekuasaan Allah yang memberikan rezeki. Hal ini dapat dilihat pada paradigma masyarakat hari ini sebagai contoh.

- "Belajar sungguh-sungguh, nanti dapat jadi Doktor, gaji tinggi, nanti boleh hidup mewah."

- "Ha? Kau nak berhenti jadi Engineer? Nak kerja sendiri? Mana kau nak dapat duit bro! Keadaan ekonomi sekarang teruk"

- "Bro, sebab apa kau nak jadi pharmacist?"
"Sebab gaji dia paling tinggi duh.!!!!"

Hal ini sinonim dengan firman Allah swt di dalam surah Al Qasas ayat 78
"Dia Qarun berkata: 'Sesungguhnya aku diberi (harta), semata-mata ilmu yang ada padaku..."
Begitulah paradigma masyarakat ini kerana faham kebendaan ini mula menjalar di setiap sendi kehidupan ummat. Hidupnya mula diuji dengan ujian harta benda beserta kemewahan

iii) Kisah Musa dan Al Khidr (Diuji dengan ilmu)

Kisah ini adalah manual yang paling sesuai kepada kehidupan seharian manusia apabila mereka berhadapan dengan ujian ilmu.

Kejadian-kejadian seumpama ini (dianalogikan dengan kisah-kisah Al Khidr dan Nabi Musa a.s), menjelaskan kepada kita walaupun betapa terpelajarnya seseorang itu, namun keputusan anggaran atau pendapat yang dibuat berdasarkan pengalamannya yang masih terbatas itu boleh sahaja tersasar.
Jika rahsia-rahsia kehidupan didedahkan kepada seseorang, kita bakal dapati berlakunya perubahan yang nyata pada idea, cara berfikir dan keputusan-keputusannya. 

Episod dalam hidup Nabi Musa as ini juga bertujuan untuk mengambarkan bahawa seseorang itu tidak boleh sama sekali berasa pasti dengan pendapat yang dibentuk dan gambaran yang diperolehinya: serta membuat keputusan berdasarkan pandangan lahiriah sahaja.

Ilmu manusia adalah terbatas, sedangkan hakikat alam yang dijadikan Allah swt, tersembunyi seribu satu rahsia kehidupan.

Faham kebendaan seperti
"Gaji kau dah la ciput! Kau nak bagi anak aku makan apa ha?"
"Kalau gaji kita tak cukup 3K macam mana nak hidup dekat KL ni?"

Itu baru berlaku pada peringkat individu. Yang tidak meletakkan tawakal setelah berusaha sebagai asas keimanan kepada Allah swt. Mereka lebih mempercayai aturan sebab dan akibat duniawi. 

Tawakal mereka kepada rezeki yang diberikan oleh Allah swt hampir tiada.

iv) Kisah Dhu Al Qarnayn (Diuji dengan pangkat kuasa dan harta)

Inilah manual kehidupan apabila seseorang itu mengapai puncak kekuasaan di dunia. Menjadi pemimpin negara, panglima angkatan perang, ceo syarikat dan sebagainya.

Kisah Dhu Al Qarnayn ini mengajar kita satu pengajaran yang cukup-cukup hebat! Walaupun sudah dianugerahi kejayaan yang paling hebat, kekuasaan kerajaan yang gah, meliputi kawasan pentadbiran yang cukup-cukup luas, sumber kekayaan yang melimpah ruah, dan kuasa dunia yang tidak tercabar, tetapi inilah sikap pemimpin beriman dan sejati.

Dia menyandarkan semua kejayaannya kepada Allah, menghadapkan wajahnya kepada Tuhan pada saat mencapai kemenangan dan mengingat penghujung yang muktamad. Dia berasa gentar dan kerdil mengenangkan keagungan Tuhan, mengakui kelemahan dirinya sendiri, memberikan keamanan dan kasih sayang kepada manusia yang menderita, mendirikan masyarakat yang adil dan beradab dan mengeluarkan manusia daripada kegelapan kejahilan dan kebendaan kepada cahaya Ilahi.
Inilah jalan kebenaran yang mulia!

Ditunjukkan oleh Allah swt kepada kita, ummat manusia di sepanjang zaman.

Konklusi.

Fahaman kebendaan, peradaban al Dajjal yang berteraskan nafsu dan falsafah atheisme (menolak peranan Tuhan) dalam aspek kehidupan bakal mencapai puncaknya sedikit masa lagi. Menerusi hadis-hadis Nabi mengenai kemunculan al Dajjal di akhir zaman. 
"Kufur (ateisme) akan tertempa di antara kedua matanya. Setiap orang berimanan, sama ada terpelajar atau tidak akan dapat membaca tanda itu" (Sahih Bukhari)

Apabila ia berlaku, maka ia akan dipimpin dan dipandu tidak lain tidak bukan oleh ad Dajjal itu sendiri. 

Hadis-hadis Nabi saw dengan jelas menyebut bahawa al Dajjal adalah penjaja ateisme yang penuh semangat dan lincah. Kerja-kerjanya adalah terarah kepada usaha membebankan hati dan fikiran orang beriman dengan keragu-raguan dan kekufuran.

"Demi Allah seseorang akan datang kepadanya kerana menyangka dia orang beriman, dan akan menjadi pengikutnya. Kemudia ia akan menjadi ragu kerana dorongannya" (Abu Daud)

Godaan ad Dajjal yang mempesona tetapi menyesatkan itu akan tersebar dan menyusup masuk ke dalam setiap keluarga, rumah dan kampung halaman, semua orang, sama ada lelaki wanita atau kanak-kanak tidak terkecuali daripada godaannya yang memukau itu (internet, televisyen, rancangan hiburan) . Tiada siapa yang dapat mengawal orang jagaannya daripada godaan itu. Semua orang hanya memikirkan dirinya sendiri dan berasa bangga akan hal itu.

Masyarakat akan berada dalam keadaan hina di mana moral mereka berada dalam keadaan paling rendah. Seperti mana kita lihat keadaan masyarakat sekarang. Budaya pornografi, berzina di khayalak ramai, gay, lesbian, mana pergi moral masyarakat pada hari ini? Sudah tiada lagi perasaan segan dan silu

Itu baru masyarakat. Jika mula mengakar pada peringkat negara?

Faham kebendaan ini akan mengakibatkan wujudnya sistem kasta dalam kehidupan, sistem ekonomi kapitalis yang menindas, yang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin miskin. Pemerintah yang zalim menindas rakyat.

Faham struktur negara yang menolak hukum-hukum Islam, berideologikan sekular, liberal serta segala ideologi yang berakar umbikan atheis (menolak Tuhan) dan menolak sistem wahyu dalam pemerintahan.

Bagi mereka, sistem Islam hanya akan memundurkan negara!

Akhir kata, benarlah seperti apa yang dikatakan oleh Rasulullah saw, menyuruh umatnya membaca surah Al Kahf. Bukan setakat baca, tetapi mempelajari isi surah, tadabbur maknanya serta cuba untuk merealiti dan membumikan dalam kehidupan sehari-harian melalui usaha tarbiyah yang berterusan. 
Ramalan Rasulullah saw yang tepat ini menunjukkan bahawa hanya Islam yang dibawa oleh baginda saw adalah satu-satunya agama yang benar. Yang memberi rahmat buat umat seluruh alam!

Wallahualam

p/s: Jangan lupa, setiap fasa hidup ini hakikatnya kita berhadapan dengan Dajjal dan segala tipu muslihatnya! Berhati-hatilah dan kembalilah kepada cara hidup Islam yang sebenar-benarnya.


Sumber rujukan
Tafsir Fi Zilalil Quran: Tulisan Syed Qutb
dan Buku Manusia & Kemaruk Kebendaan (Teks dan Komentar Surah al Kahf): Sayed Abul Hasan Ali Nadwi

Copy and paste!

Semoga kita sentiasa dalam rahmat dan perlindungan Allah juga terhindar dari tipu daya Dajjal...

3 comments:

  1. semoga kita dibawah limpah dan rahmatnya..Ameen

    ReplyDelete
  2. zaman yg penuh fitnah.. insyaAllah akan selalu diamalkan..TQ berkongsi ilmu Nur...:)

    ReplyDelete
  3. Rasanya zaman okje kecik ......pendedahan dlm bidang agama sangat kurang....zaman dulu rancangan TV pun TV 1 ngan TV2 jer...TV3 kat lembah Klang jer....tp zaman sekarang mmg best banyak yg boleh kita tengok dan dengar.

    Terima kasih berkongsi ilmu Bijen.....walaupun dah tau tp kekadang mak lupa hihi

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails