Showing posts with label gigi. Show all posts
Showing posts with label gigi. Show all posts

Sunday, May 12, 2019

Giginya ada dua

Salam 7 Ramadhan..

Hari ni nak tempek gambar si Firas yg dah ada dua batang gigi...


Dah beberapa kali juga kena gigit.
Lagi2 bila menyusu bulan puasa ni.
Dia geram kot bila susu tak banyak macam biasa... huhuhu

#9Bulan2Minggu

Monday, July 31, 2017

Danish cabut gigi

Hari Rabu minggu lepas saya ke dentist cabut gigi.
Pergi jumpa dentist kat Pusat Kesihatan Universiti (PKU).
Bila dah rasa sendiri layanan kat sana yang agak best, jadi esoknya saya terus bawa Danish pula ke PKU.

Sebab gigi dia dah berlapis yg kat bawah.
Gigi baru dah tumbuh, tapi gigi depan tetap menten kukuh lagi.
Sikit pun tak goyang.

Saya saja tanya Danish, "Nak tak cabut gigi?".
Tak sangka di kata, "Nak."

Kira ni pengalaman pertama saya bawa danish ke dentist.
Sebelum ni Danish pernah ke dentist beberapa kali.
Tapi abah yang bawa.
So tak tahu mcm mana karenah dia bila nak jumpa dentist tu.

Masa hari Khamis tu, lepas lunch dan solat zuhur, pukul dua petang kami dah terpacak di PKU.
Lepas daftar, terus ke tempat menunggu.
Dalam beberapa minit, terus nama Danish terpapar pada skrin.

Danish sikit pun tak tunjuk tanda nerbes.
Hai, jiwa kental sungguh si Danish ni.
Bila suruh duduk atas kerusi, dia pun duduk macam biasa jer.

Lepas doktor check, doktor sarankan untuk bius dahulu sebelum cabut sbb gigi tak goyang.
Masa doktor bius tu, ummi Danish ni yg tetiba rasa ngilu kat gigi bila tengok jarum bius yng bukan main panjang.
Mula2 Danish mcm gerakkan juga kepalanya sebab dia takut.
Tapi bila saya kata jangan gerak dan rileks kan diri, baru dia ok dan doktor dapat bius dengan mudah.
Lepas tunggu dua minit untuk bagi ubat bius rasa, doktor dapat cabut gigi Danish dengan mudah sekali.

Tengok la, siap buat "peace" lagi bila tgk saya nak ambil gambar.
Gigi yang dicabut.. Masih cantik dan akarnya masih panjang. 

Entah bila dia buat topeng ni..
Bagus juga, boleh tutup mulut yang sedang gigit kapas.
Malam tu, Danish dah boleh makan mcm biasa.

Thursday, March 3, 2016

Cabut gigi sendiri

Awal bulan lepas, Aisyah jumpa dentist utk cabut gigi susu di bahagian bawah seperti yg saya cerita dalam entry ni.
Tak lama lepas tu, gigi bahagian atas pula mula goyang.
Berbeza dengan gigi sebelum ni yang langsung tak goyang, tapi gigi kekal dah berlapis di bahagian belakang.
Itu yg terpaksa juga jumpa dentist utk cabutkan.

Alang2 dah goyang, saya suruh juga Aisyah goyang gigi tu dan cabut sendiri.
Tapi takde nya dia nak ikut.
Penakut sungguh!
"A BIG NO!" katanya.... huhuhu

Kebetulan hujung minggu hari tu, dia makan buah nangka.
Entah macam mana, tiba2 gigi yg bergoyang tu berdarah dgn banyak sekali.
Saya cuba galakkan Aisyah cabut, tapi dia takut.
Saya cuba juga cabut gigi tu bila Aisyah beri peluang, tapi masih rasa gigi tu melekat dgn kuat.
Nak tarik kuat2, takut Aisyah trauma pulak nanti.

Tak lama lepas tu, bila Aisyah rasa gigi dia dah ok, dia makan pula buah tembikai.
Hehehe, Aisyah ni kan peminat setia buah buahan.
Cuma skrang bila dah ada kat M'sia, buah2 tempatan aje laaa yang menjadi kudapan harian.
Nak makan plum atau stoberi tu, jarang sgt.
Eh, rasanya tak pernah sekali pun beli plum mahupun stoberi bila balik M'sia ni.
Mahal tu satu hal, tgk buah yg tak fresh tu rasa tak berbaloi nak beli.

Berbalik pada Aisyah yg makan buah tembikai tadi.
Tiba2, gigi dia berdarah dgn banyak bila dia tergigit di bahagian gigi yang dah goyang tu.
Kali ni, saya sekali lagi cuba cabut gigi tersebut.
Dan tak sangka, dengan mudah gigi tu tertanggal.
Aisyah pun happy bila gigi dia dah mula tanggal.

Muka terbaru Aisyah dgn gigi rongak....
Gigi yang saya cabut tu, dia basuh hingga bersih dan simpan dengan gigi2 yang dah dicabut bulan lepas...
Gigi yang paling kiri adalah gigi yang tercabut sendiri.
Yang dua kanan pula, gigi yang dicabut oleh dentist.
Mungkin agak susah nak cabut sbb akar gigi pun masih elok lagi.

Saya perasan, gigi tempoh hari senang nak cabut sebab gigi kekal dah tumbuh di tempat yg sama.
Jadi selamat la Aisyah sbb rongak tu tak bertahan lama... hehehe.

Tuesday, February 2, 2016

Aisyah cabut gigi

Gigi Aisyah kebanyakannya masih lagi gigi susu padahal bulan Ogos nanti dia dah 9 tahun.
Gigi2 susu dia pun macam tak rosak lagi, masih elok sgt2.
Yang jadi masalahnya, gigi kekal dah mula keluar di bahagian dalam.
Ada dua batang gigi kekal dah tumbuh di bahagian bawah kat depan.
Jadi dah berlapis dua gigi susu dan gigi kekal.
Sama kes dengan si abang Irfan.
Gigi kekal dah keluar, tapi gigi susu masih elok terletak tanpa goyang sikit pun.

Risau takut gigi kekal tu rosak, saya pujuk juga Aisyah ke dentist.
Kira Aisyah first visit to dentist kat M'sia.
Masa kat UK, Aisyah pernah jumpa dentist dan cabut gigi macam yang saya cerita dalam entry ini,  entry ini dan entry ni.
Kira after 3 years, baru jumpa dentist semula.
Hahaha, teruk betul mak Aisyah ni.... sepatutnya every 6 months kena visit dentist, kan?
Tapi itu laa... bila anak-anak tak mengadu sakit, liat sungguh nak bawa anak2 jumpa dentist.

Malam Jumaat lepas kami bawa Aisyah jumpa dentist.
Sempat lagi posing sebelum dipanggil jumpa doktor :)
Adik pun nak posing sama...
Sekarang ni memang susah nak snap gambar anake bertiga...
Bila dentist check, memang dia kata kena cabut dua batang gigi susu yang kat depan tu.
Masa ni doktor sedang cucuk ubat bius... 
Lepas bius, kena tunggu dulu beberapa minit nak bagi bahagian yang dibius rasa kebas.
Then baru gigi2 Aisyah dicabut.
Saya perhatikan, susah juga doktor nak cabut gigi2 Aisyah kat depan tu.
Memang akarnya masih lagi cantik.
Patutlah sikit pun tak goyang.
Tapi tak lama pun proses cabut gigi tu.
Doktor pun bukan main puji lagi Aisyah sebab beri kerjasama yg baik sepanjang proses gigi dicabut tu :)

Keluar dari bilik doktor, sempat lagi senyum bila saya suruh posing :)

Sunday, November 2, 2014

Taking out teeth while sleeping - Part III

Hari ni kita sambung kisah Irfan cabut 12 batang gigi tu lagi.

Part I boleh baca sini.
Part II boleh baca sini.

Tak lama pun Irfan dapat berehat.
Tiba-tiba phone berbunyi.
Saya dan Irfan terus terjaga.
Ada kawan call tanya perkembangan Irfan.
Ada juga kawan yang prihatin dan mengambil berat :)
Tiba-tiba mode terharu activated!

Lepas cakap telefon, saya tawarkan Irfan untuk makan yoghurt.
Dia kata tak nak.
Tapi saya turun juga ke dapur.
Panaskan susu, ambil dua bekas yoghurt dan beberapa ketul roti.
Tak lupa segelas latte untuk tukang jaga orang sakit.
Saya bawa ke dalam bilik dan makan depan Irfan dengan penuh berselera sekali.
"Erm, sedapnya abe roti ni. Nak rasa?" saya offer pada Irfan.
Tak sangka Irfan kata nak.
Yes, berjaya juga saya pengaruhi Irfan untuk makan.
Saya celupkan roti dalam susu dan suapkan pada Irfan.
Saya pesan supaya terus telan, tak perlu nak kunyah.
Sedar tak sedar, dua ketul roti Irfan makan.
Lepas habis roti, Irfan makan yoghurt pulak.
Dua bekas yoghurt tu Irfan yang habiskan.
Lapar sangat agaknya sebab dah mula puasa dari sebelah malam.
Lega saya tengok Irfan boleh makan tanpa sebarang masalah.
Lepas makan, baru nampak Irfan bertenaga sikit.
Dia mula cari Ipadnya.
Rupanya dia suruh saya download game dari Apple store.
Jadi saya pun download lah dua game percuma tu sebagai hadiah utk orang sakit.
Bila Irfan main, harapnya dia boleh lupa seketika sakit yg dia sedang tanggung.

Lepas makan tu, baru saya boleh snap gambar ni...
Yang tinggal cuma gigi kekal sahaja.
Semua 12 batang gigi yang dicabut tu adalah gigi susu.
Lagi pun dah banyak gigi kekal Irfan yang tumbuh.
Senang sikit dia nak jaga gigi kekal yang ada.

Lepas tu, saya suruh Irfan berehat.
Nampak dia dah mula boring.
Dia mula tanya, lambat lagi ke kakak dan adik nak balik dari sekolah?
Saya jawab, lagi dua jam baliklah kakak dan adik.
Dah mula rindu dengan kakak dan adik lah tu.
Dalam menunggu adik dan kakak balik, sempat juga dia tertidur.

Tengok dia tidur lepas kenyang, saya pun rasa lega.
Irfan juga tak mengadu sakit lepas makan tadi.
Alhamdulillah, lega bila tengok keadaannya yang makin pulih.
Untuk makan tengah hari, saya masakkan bubur nasi.

Bila adik dan kakak balik dari sekolah, nampak muka Irfan semakin ceria.
Dah tak ingat agaknya dia baru lepas cabut gigi yg byk.
Bila tengok si adik yang takut dengan gusi berdarah si abang, lagi lah Irfan duk usik adiknya.
Dinganga mulut luas2 tunjuk gusi yang masih berdarah.
Terus hilang rasa sakit bila dapat bergurau dengan adik-adik.

Malam tu Irfan makan bubur nasi jer.
Makan siap bertambah lagi.
Saya dah mula rasa lega tengok perkembangannya yang sangat positif.

Keesokan harinya, saya tanya Irfan sama ada dia nak pegi sekolah atau tidak.
Kalau tgk pada keadaan Irfan, dia dah nampak macam biasa.
Tiada lagi gusi yang berdarah.
Jadi Irfan setuju untuk terus pergi ke sekolah.
Irfan pun pergi sekolah macam biasa.
Pagi sarapan bubur nasi, tapi dalam pack lunch saya bekalkan roti sandwich sapu coklat.
Juga sebekas yoghurt dan juga jus oren.

Balik sekolah, malam tu Irfan dah tak nak makan bubur nasi.
Dia minta nak makan nasi biasa macam adik dan kakak.
Dah dia yakin nak makan nasi biasa walau baru cabut gigi satu hari, saya ikutkan ajer.
Mungkin dia tak kenyang kot asyik makan bubur nasi jer.
Lepas tu, memang dia dah tak sentuh bubur nasi.
Saya la yang kena habiskan semua bubur nasi yang ada.... huhuhu

Ni gambar saya snap selepas gigi dicabut dua minggu...
Kat gusi masih ada kesan berlubang, tapi dah tak rasa sakit.

Begitulah kisahnya.
Tak lama Irfan ambil masa untuk recover walau banyak gigi yang dicabut sekaligus.
Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan.

NuKilaN:
 

Thursday, October 2, 2014

Taking out teeth while sleeping - Part II

Sebelum terlupa, baik saya sambung cepat-cepat kisah Irfan cabut gigi  yang 12 batang tu pada awal bulan September.
Hari ni dah masuk dua Oktober pun.
Cepatnya lah masa berlalu, kan Atie kan?.

Lepas kami (saya dan hubby) tinggalkan Irfan di operation room, kami dibawa ke bilik menunggu.
Di bilik menunggu, kami ditemani oleh seorang nurse yang sangat baik.
Dia terangkan apa yang akan terjadi dengan Irfan bila dia sedar nanti.
Apa pula yang kami perlu buat sebagai mak ayah.
Kata nurse, lepas operation Irfan akan "dibangunkan" (Eh betul ke perkataan ni?)
We will wake him up.
After he woke up, we will monitor his condition and make sure the bleeding is undercontrol.
If everything is good, we will call you to see him.
Lepas tu nurse juga explain macam mana keadaan Irfan bila dia sedar.
Nurse kata, mungkin Irfan akan sedikit kebingungan.
Dia macam tak sedar apa yang telah berlaku.
Tapi jangan risau, selalunya si anak akan lebih ceria bila tengok muka mak dan ayah.
Masa nurse terangkan tu, saya tak cuba nak imagine.
Malas nak fikir yang bukan-bukan.
Wait and see aje lah apa yang berlaku.

Selain tu, nurse terangkan juga ubat yg Irfan boleh ambil lepas cabut gigi tu.
Doktor dah masukkan ubat paracetamol melalui tangan.
Hanya selepas 4 jam, baru saya boleh berikan Irfan ibuprofen atau paracetamol kalau dia mengadu sakit.
Lepas tu, nurse cerita lagi tentang hal penjagaan dan juga pemakanan.
Pesan nurse, malam tu jangan gosok gigi lagi.
Tapi pagi tu kena kumur dengan air garam.
Garam kan boleh bertindak sbg pembunuh kuman.
Lepas tu boleh gosok gigi seperti biasa.
Pasal makanan pula, Irfan kena makan makanan lembut jer untuk dua tiga hari.
Kalau boleh, seminggu tu kena makan soft food jer.
Kena juga inform cikgu di sekolah tentang Irfan dan apa yang dia boleh makan.
Kalau boleh, dua hari kena rehat di rumah.
Masa rehat kat rumah juga kena kuarantinkan Irfan dari adik beradik yang lain.
Kena rehat dalam bilik tanpa sebarang gangguan.
Macam tu lah lebih kurang nasihat nurse.
Nurse juga ada bekalkan pamplet utk penerangan yang lebih detail.
Juga beberapa helai kapas untuk Irfan guna nanti.
Lepas tgk kami mcm puas hati dan tak de sebarang soalan, nurse tinggalkan kami berdua di bilik menunggu.
Tak lama lepas tu, doktor pun keluar dan beritahu kami yang operation telah berjaya.
Bila Irfan dah sedar, kami akan dibawa berjumpa Irfan.
Lega juga bila segalanya berjalan dengan lancar, Alhamdulillah...

Dua tiga minit kemudian, kami dipanggil untuk berjumpa dengan Irfan.
Nampak Irfan terbaring atas troli.
Alahai, kesian pula bila tengok mulut dia yang ada kesan darah.
Ada juga beberapa tompok darah di baju Irfan.
Betul kata nurse tadi, Irfan nampak kebingungan.
Saya tanya Irfan, "Abe boleh bangun tak?"
Irfan mengangguk lemah.
Jadi saya bantu Irfan bangun.
Saya tanya lagi, "Abe boleh jalan tak?"
Lagi sekali dia mengangguk lemah.
Jadi saya dan abah papah Irfan ke bilik menunggu.

Sampai di bilik menunggu, kami beritahu Irfan supaya duduk.
Kami biarkan dia rehat seketika.
Saya boleh nampak muka Irfan yang tidak selesa dengan kapas yang penuh dalam mulutnya.
Tak lama lepas tu Irfan kata dia nak muntah.
Nurse suruh dia muntahkan atas disposable towel yang disediakan.
Jadi Irfan keluarkan semua kapas dan darah yg sedang berkumpul dalam mulut dia.
Lepas tu saya mula tilik keadaan mulut Irfan.
Memang masih banyak yang berdarah.
Tapi nurse tak gantikan dengan kapas yang lain supaya darah lebih cepat kering.
Biarkan mulut kosong macam tu jer.
Tak elok katanya kalau biarkan gigi kapas.
Bila nampak keadaan Irfan yang semakin sedar dan stabil, nurse benarkan kami beredar.

Sampai di rumah, baru saya perasan ada juga air mata lelaki yg mengalir di pipi Irfan.
Kesian pula, mesti sakit sangat.
Tak dengar pun dia merengek, tiba-tiba jer air mata mengalir.
Mesti sakit sangat dia rasa tu.
Cepat cepat saya bawa Irfan berehat dalam bilik.
Saya tawarkan untuk minum susu pun dia tak nak.
Dah lah dia berpuasa dari sebelah malam.
Risau juga takut perut dia masuk angin.

Tak nak memaksa, saya suruh Irfan tidur dulu.
Saya pun baring sama-sama dengan Irfan.
Masa tu tiba-tiba rasa teremosi pulak.
Rasa macam lamanya tak baring dan peluk Irfan macam tu.
Dah lama tak usap-usap rambut dia.
Dah lama tak peluk erat badan dia.
Yang buat naluri keibuan tersentuh, saya boleh nampak ekspresi muka Irfan yang sangat bahagia bila dia dapat bemanja tanpa sebarang gangguan macam tu.
Walau sedang menahan sakit, terukir senyum bahagia dibibirnya.
Betapa Irfan masih perlukan perhatian.
Masih perlukan belaian kasih sayang.
Maafkan ummi Irfan.
Tapi ummi tahu, Irfan mengalah sebab sayangkan adik adik.
Irfan memang abang yang baik buat adik-adik.
Terima kasih Irfan sebab jadi anak dan abang yang memahami :)

Rasa mcm banyak lagi nak cerita... sambung dalam part III pulak lah.
Tempek dulu sekeping gambar selepas dua jam kemudian...











Wednesday, September 10, 2014

Taking out teeth while sleeping

Dalam entry ni, Mak Aji dan Mama JJ macam terkejut bila saya kata yang Irfan cabut gigi 12 batang sekaligus.
Iya, mmg dentist cabut 12 batang sekaligus tapi masa Irfan tidur.
Tu yang nak tulis entry cerita dgn detail sikit pasal prosedur tu sebagai kenangan.

Sebenarnya, kat Bradford ni susah sangat nak dapat dentist.
Sampai rasa nak give up pun ada nak dapatkan dentist kat Bradford ni.
Saya mmg agak risau tgk keadaan gigi Irfan yg makin tak terurus.
Ni antara keadaan gigi dia yg saya sempat snap.
Kebetulan masa bulan February 2014, si Abah pula kena sakit gigi.
Jadi saya mula godek website NHS utk cari dentist bagi si abah.
Memang takde yang terima new patient.
Dalam duk cari tu, tiba2 ternampak ada dentist yg buka pendaftaran baru hanya utk kanak-kanak.
Jadi saya terus call Allerton Dental Practice utk daftarkan Irfan.

Alhamdulillah Irfan diterima.
Bila dentist check, dia kata gigi Irfan dah byk sgt yg rosak.
Jadi dia rujuk kes Irfan ke hospital besar yang specialize utk kanak-kanak.
Lepas beberapa siri temujanji di Horton Park Surgery, dentist kat sana beri pilihan sama ada utk cabut dua batang gigi setiap kali appointment atau cabut semua sekaligus dalam keadaan tidur.
Ada 12 batang gigi, jadi kena ulang alik ke hospital 6 kali.
Dentist juga menerangkan pro and cons utk setiap pilihan.
Selepas fikir masak-masak, saya pilih option yang kedua - cabut semua gigi masa tidur.

Masa tu terus dapat appointment 8/9/2014 di Airedale General Hospital, Skipton.
Seminggu sebelum appointment, kami pergi dulu ke sana utk budget travelling time ke sana dari rumah.
Tak jauh pun, lebih kurang 12 miles iaitu dalam 30 minit perjalanan.

Pagi Isnin tu lepas hantar anak-anak ke sekolah, terus bergegas ke sana.
Sempat sampai dalam pukul 9.30 pagi dan appointment pukul 9.40.
Lama juga menunggu sebelum dilayan oleh staf yang terlibat.
Nurse yang bertugas menerangkan serba sedikit apa yg Irfan akan lalui dan juga sesi soal jawab tentang kesihatan Irfan.
Dia juga pastikan yg Irfan tak makan atau minum pagi tu.
Irfan dah mula puasa dari malam Isnin tu.
Gosok gigi sebelah pagi pun tak dibenarkan takut tertelan air.
Nurse juga tunjukkan cara menyedut gas pelali dengan betul.

Selesai jumpa nurse, kami menunggu di ruang menunggu lagi.
Tak lama lepas tu, kami dibenarkan masuk ke dalam operation room.
Dentist pula perkenalkan diri.
Lawak betul la dentist Irfan hari tu.
Pandai dia layan kanak-kanak.
Lepas sesi penerangan dari dentist, doktor bius pula memainkan peranan.
Sekali lagi doktor bius terangkan cara nak sedut ubat pelali dengan betul.
Dia cerita apa yg Irfan akan alami bila sedut gas tu.
Lepas sesi penerangan, Irfan disorong ke bilik sebelah utk menjalankan operation.

Di bilik tersebut, nurse pasangkan beberapa alat utk detect tekanan darah dan kandungan oksigen dalam darah.
Bila tgk tekanan darah dan kandungan oksigen yang stabil, doktor bius mula pasangkan mask di muka Irfan.
Perlahan-lahan ubat pelali dilepaskan melalui mask tersebut sambil doktor bius menenangkan Irfan dan bernafas seperti biasa.
Macam gaya hipnosis pun ada.
Tak lama lepas tu, Irfan terus pejamkan mata dan tidur.
Bila Irfan tidur, kami diarahkan meninggalkan Irfan untuk prosedur seterusnya.
Kami meninggalkan Irfan di bilik tersebut dengan seribu satu rasa dan doa semoga segalanya berjalan lancar.

....Bersambung ke Part 2... sabar yer...

NuKilaN:
 

Saturday, March 9, 2013

Si gadis bergigi perak

Entry tertangguh setelah hampir sebulan.
Tapi saya tetap nak abadikan dalam blog untuk kenangan Aisyah.

Kali pertama dalam hidupnya, Aisyah telah kehilangan gigi susu yang pertama pada 8 February 2013.
Gigi susu geraham bawah di sebelah kiri.
Alhamdulillah, Aisyah seorang yang sangat berani.
Langsung tak menangis semasa dicucuk ubat bius.
Hinggakan dentist Aisyah sangat memuji sikap beraninya.
Kata beliau, "Andaikata dia diberi pilihan utk memilih patient, Aisyah adalah patient pertama yang dia akan pilih."

Selain cabut gigi, Aisyah juga dipakaikan dengan gigi perak macam pic kat bawah...
Saya snap gambar ni selepas 2 jam gigi dicabut
Lagi gigi dari sisi berbeza
Sebelum diletakkan gigi perak tu, doktor membersihkan dulu gigi yang berlubang tu. Lepas siap bersihkan, baru dentist gamkan gigi perak tu di atas gigi yang telah dibersihkan tadi. Nanti gigi perak tu akan tertanggal bersama-sama dengan gigi susu bila tiba masanya nanti.

Ni gambar terkini yang diambil minggu lepas
Beria nganga bila saya nak ambil gambar :)
Komen Aisyah lepas tgk giginya di cermin, "Eh, gigi kakak pun sama laa dgn gigi Adrian. Adrian pun ada gigi macam ni." Tak habis-habis nak kaitkan dgn BFF dia tu. Apa-apa aje la Aisyah, asalkan kakak happy :)

NuKilaN:
 

Friday, January 25, 2013

Jumpa dentist lagi

Perjumpaan dengan dentist pada minggu lepas hanya sekadar untuk berbincang tentang masalah gigi yang Aisyah alami. Aisyah tidak pernah mengadu yang dia sakit gigi pun sebelum ni. Tapi hasil pemeriksaan gigi di sekolah, ada empat gigi Aisyah telah rosak. Dua gigi mengalami kerosakan agak teruk dan lagi dua tu macam nak berlubang.

Maka hari ni adalah lawatan kali kedua Aisyah ke klinik gigi. Saya dimaklumkan yang kali ini akan jumpa dengan therapist untuk ambil gambar gigi Aisyah dan dianggarkan perjumpaan tu selama 30 minit.

Therapist yang kami jumpa kali ni lebih friendly dan banyak cakap. Banyak betul dia sembang dengan Aisyah walaupun Aisyah cuma mengangguk atau menggeleng sahaja. Mula mula therapist dedahkan alat-alat yang akan digunakan semasa proses tampalan gigi. Semua dia ceritakan dan tunjukkan pada Aisyah satu persatu. Dia beri peluang Aisyah rasa dengan tangan sebelum buat demo di dalam mulut. Tujuan therapist bercerita dengan terperinci adalah untuk mengurangkan rasa takut Aisyah dan memastikan Aisyah dapat memberi kerjasama yang baik semasa proses tampalan pada temujanji akan datang.

Lepas demo proses tampalan, tiba giliran untuk ambil gambar gigi Aisyah pula. "Ambil gambar" tu rupanya therapist akan membuat x-ray di gigi Aisyah bagi mengetahui sejauh mana kerosakan gigi yang Aisyah alami. Hasil x-ray nanti therapist dan doktor akan menyediakan treatment plan utk Aisyah. Harapnya gigi-gigi Aisyah boleh ditampal tanpa di cabut, kata therapist.

Lepas semuanya selesai, saya dan Aisyah diberi tugasan lagi. Aisyah diberi sekeping kertas untuk dia rekodkan setiap kali lepas gosok gigi. Saya pula diberi sekeping kertas untuk merekodkan apa yang Aisyah makan selama empat hari. Dari situ kami akan berbincang tentang diet yang sepatutnya Aisyah perlu ambil dalam sehari bagi memastikan gigi Aisyah yang lain tidak rosak. Prevention is better than cure, right?

Temujanji seterusnya pada hari Khamis depan. Nasib baik klinik ke rumah tak jauh, dalam 15 minit jalan kaki :)

Minggu depan datang sini lagi :)

NuKilaN:
 

Thursday, January 17, 2013

Jumpa dentist

Semalam dalam sejarah Aisyah, bila buat pertama kalinya Aisyah berjumpa dengan dentist. Akhir tahun lepas (tak silap nov 12), dapat surat dari dental service untuk buat pemeriksaan gigi Aisyah. Nyaris-nyaris surat tu hilang dek terlalu lama tempoh dapat surat ke tarikh appointment.

Appointment pukul 3.10 petang, jadi saya terpaksa jemput Aisyah dari sekolah sedikit awal (sekolah habis pukul 3.30 ptg). Saya cakap kat cikgu kelas nak jemput Aisyah pukul 2.00 petang. Lepas solat Asar, terus gerak ke klinik dalam pukul 2.30 ptg.

Agak awal kami tiba di klinik. Lepas daftar di kaunter, kami ke bilik menunggu. Tak lama lepas tu, nama Aisyah dipanggil. Masuk ke dalam bilik, doktor memperkenalkan diri dan pembantunya. Doktor menerangkan tujuan temujanji dan apa yang akan dilakukan. Baru saya tahu, rupanya surat temujanji dihantar rentetan pemeriksaan gigi di sekolah Aisyah yang mendapati beberapa gigi Aisyah telah rosak (teeth decay - ke pereputan gigi?).

Sebelum pemeriksaan dijalankan, doktor bertanya beberapa soalan berkaitan tabiat pemakanan Aisyah dan cara Aisyah menjaga gigi. Banyak juga yang kami bualkan. Tapi yang saya terkejut bila doktor tanya mcm ni...

Doktor: : Lepas Aisyah gosok gigi, dia akan berkumur atau tidak?
Saya: Mestilah berkumur.
Doktor: Sebolehnya, tak perlu bilas lepas gosok gigi. Biarkan jer ubat gigi dalam mulut. Ubat gigi akan membantu utk melindungi gigi.
Saya: Eh, macam tu ke? Baru kali pertama saya dengar macam ni. Kita pun boleh buat macam tu ke?
Doktor: Yup.

Tapi rasa macam tak kena jer nak buat mcm tu. Apa pendapat mommies?

NuKilaN:
 

Saturday, May 26, 2012

Gigi jadi duit?

Sambung lagi kisah irfan cabut gigi dari entry ni.

Beria Irfan minta nak simpan gigi yang dicabut. Saya tanya, nak buat apa dengan gigi tu? Irfan cakap nak letak bawah bantal. Nanti bangun pagi esok gigi tu akan jadi duit. Saya cuma senyum jer. Mengiayakan tidak, menidakkan pun tidak. Saya cuma layankan saja.

Si kakak juga mengiyakan sama.. Ni mesti terpengaruh dengan tooth fairy. Bila tidur sebelah malam, pari-pari akan datang untk memberikan duit bila letak gigi di bawah bantal.

Gambar::Gigi letak bawah bantal, tapi tuan gigi takde pula tak tidur atas bantal :)


Keesokan hari, Irfan bersiap seperti biasa untuk ke sekolah. Sebelum keluar rumah, dia baru teringat tentang giginya. Disebabkan dah lewat nak ke sekolah, Irfan mengangguhkan dulu hasratnya. Balik ajer dari sekolah, cepat2 check naik atas dan check bewah bantal. Tercalit sedikit kesedihan di wajahnya kerana gigi tetap gigi. Tiada duit yang muncul.

Saya pun terangkan, pari-pari tu memang tak wujud. Biasanya mak ayah dalam cerita tu yang letak duit. Nak bagi ganjaran pada budak2 yang berani cabut gigi. Saya tanya si abah, kenapa tak letak duit bawah bantal? Abah kata, tak nak beri kepercayaan karut kat budak2... a ah, iye jugak...  jawab saya dalam hati sambil mengangguk setuju.

NuKilaN:
 

Sunday, May 20, 2012

cabut gigi

15 Mei 2012 - hari bersejarah buat Irfan. Kali pertama dalam hidupnya, Irfan kehilangan gigi yang pertama di usia 6 tahun 9 bulan.

Kat sini agak susah nak register untuk dentist. Dah banyak dentist practice yang saya call tapi penuh. Nak masuk dalam waiting list pun tak boleh. Nampak gaya kena walk in ke dentist2 yang berhampiran pulak untuk masuk dalam waiting list.

Saya agak cemas bila Irfan mengadu sakit gigi pada hari Ahad lepas.  Saya cuma mampu galakkan dia gosok gigi dan berkumur air garam. Bila dah tak tahan sangat, saya berikan paracetamol. Malangnya sakit gigi yang menyerang Irfan tidak juga hilang - berlarutan tiga malam, dan tiga malam juga kami tidak tidur nyenyak. Siang hari ok pulak. Dia cuma sakit sebelah malam.

Hari Selasa tu, Irfan refuse untuk ke sekolah. Saya tidak memaksanya dan saya mula menyelongkar laman web NHS untuk mencari penyelesaian. Berdasarkan web, ia menyarankan agar saya menghubungi primary care trust (PCT) di kawasan berdekatan. Alhamdulillah, saya mendapat saluran yang sepatutnya. Permohonan saya untuk mendapatkan dentist berhasil.

Pada mulanya, tiada rawatan kecemasan yang boleh diberikan pada hari yang sama. Mereka menyarankan supaya menyambung pengambilan paracetamol untuk mengurangkan sakit sehingga pihak hospital menghubungi saya semula pada keesokan pagi. Tapi beberapa minit kemudian, pihak hospital menghubungi saya kembali. Ada slot kosong pada pukul 12 tgh hari. Ia berita baik untuk Irfan.

Dalam pukul 11.30, kami gerak ke hospital yang dimaksudkan. Selesai mengisi borang, kami menunggu di ruang menunggu yang disediakan. Tak lama lepas tu Irfan dipanggil untuk masuk. Hanya saya dan Irfan sahaja yang dibenarkan masuk ke dalam bilik rawatan. Lepas doktor buat pemeriksaan, doktor menyarankan supaya gigi yang sakit itu dicabut. Saya hanya bersetuju.

Doktor mula dengan membius kawasan sekitar gigi yang nak dicabut. Ia gigi geraham di bahagian atas sebelah kiri. Gigi dah kuat bergoyang. Doktor meminta saya memegang kedua-dua belah tangan Irfan sebagai sokongan. Irfan juga sangat tenang bila doktor membiusnya. Doktor kata, "He is very good. Hard to find a child as strong as him". Saya turut bangga dengan keberanian yang ditunjukkan Irfan.

Lepas bius, kena tunggu beberapa minit untuk ubat bius berkesan. Lepas Irfan kata bahagian gigi yang dibius dah kebas, doktor bersiap sedia untuk mencabutnya. Saya juga tumpang berdebar sama. Tapi Irfan nampak biasa saja. Sungguh, saya sangat kagum dengan semangat Irfan.  Dia begitu berani. Proses mencabut gigi berjalan dengan lancar. Irfan langsung tak menangis. Saya simpan gigi yang dicabut sebagai kenangan.


Lepas cabut, saya tunggu di kaunter untuk bayar kos rawatan. Petugas kaunter kata, "It's free of charge". Rupanya rawatan gigi untuk kanak-kanak adalh percuma. Kalau orang dewasa sahaja kena bayar sikit.

NuKilaN:
 

Wednesday, June 22, 2011

gigi

saja nak letak pic gigi anak anak sbg kenangan
setakat ni, anak anak mmg request utk gosok gigi setaip kali mandi
termasuk la danish
dah pandai tnjuk kat bekas simpan berus gigi
selagi tak bagi berus gigi
selagi itu la mulut danish duk bising nakkan berus gigi

kita mulakan dgn gigi irfan
tengok karies gigi dah semakin bermaharajalela
mungkin disebabkan teknik menggosok gigi yang tidak betul
setakat ni pernah sekali bawak irfan jumpa dentist
sbb dia mengadu selalu sakit gigi masa makan
ingatkan boleh tampal, tapi dr kata kena cabut terus
gigi susu tak perlu tampal :)
tapi disebabkan irfan baru berumur 4 thn masa tu
so, dr tak suggest utk cabut
dia suruh ajar anak belajar baca nak buang sisa makanan yang terlekat kat gigi guna floss

jom intai gigi aisyah pula
susunan gigi aisyah tak berapa teratur
tak pasti pula kenapa jadi mcm tu
mungkin kerana aisyah suka sangat menggigit benda keras semasa bayi
tapi walaupun susunan gigi tak cantik, karies belum lagi menyerang
pandai juga aisyah jaga dan berus gigi 
setakat ni, aisyah belum pernah lagi mengadu sakit gigi

mcm mana pula dengan danish?
hehehe, danish baru ada 6 batang gigi di usia 16 bulan
4 batang bhgn atas
dan 2 batang kat bawah
dah lama cuba nak snap gambar gigi danish
tapi sampai sekarang belum berhasil
huhuhu, gambar mcm ni pun jadi la,ek?

NuKilaN:
Related Posts with Thumbnails