Tuesday, August 9, 2011

hari jadi irfan ke-6

Hari ni 9 Ogos 2011. Genaplah umur irfan 6 tahun. Sedar tak sedar, dah enam tahun saya menjalankan tugas sebagai ummi. Cepat betul masa berlalu tetapi suasana di bilik bersalin masih segar dalam kotak fikiran. Pengalaman pertama yang menjadikan saya bertukar  kepada status ummi.

Alhamdulillah, dari lahir hingga sekarang, Irfan membesar tanpa banyak karenah, mudah mendengar kata, dan cepat belajar.

Ummi sentiasa bersyukur dikurniakan anak seperti Irfan dan bahagia kerana diberikan peluang untuk mendidik dan membesarkanmu, nak. Walaupun dua tahun pertama kita cuma hidup berdua, tapi Irfan memberikan kerjasama kepada ummi sepanjang ketiadaan abah di sisi.

Ingat lagi tak, Irfan pernah ummi bawa tinggal di asrama kolej apabila memikirkan faktor keselamatan (sebab kita hanya tinggal berdua). Walaupun pelajar membuat bising di tengah malam, tapi Irfan tetap tidur dengan lena. Ni gambar yang ummi masih simpan sebagai kenangan kita berdua semasa tinggal di asrama.
Disebabkan terlalu mudah untuk menguruskan keperluanmu, ummi tak pernah mengeluh atas takdir yang telah ditentukan oleh-Nya (membesarkan anak tanpa suami di sisi).

Apabila abah mendapat KPLI di Besut, Terengganu, kita berpindah ke sebuah rumah sewa. Irfan ingat lagi tak dengan rumah ni?
Kita duduk rumah sewa ni sehingga "dihalau" keluar oleh tuan rumah tanpa sebarang sebab. Yang lagi sedih, masa tu ummi sedang sarat mengandungkan adikmu, Aisyah. Tapi rezeki menyebelahi kita bila jiran sebelah rumah kebetulan nak pindah. Jadi kita cuma berpindah ke rumah sebelah yang lebih besar dengan kadar sewa yang sama.

Bila Aisyah lahir, ummi agak risau sekiranya Irfan diserang "sindrom dapat adik". Tapi alhamdulillah, Irfan memang anak yang bijak. Menerima kehadiran adik baru dalam keluarga kita dengan hati terbuka malah menjadi seorang abang yang sangat penyayang. Tengok la gambar Irfan yang sentiasa menemani aisyah semasa ummi berpantang. Terima kasih, Irfan!
Bukan setakat semasa pantang, malah Irfan sentiasa di sisi adiknya. Inilah buktinya...


Kasih sayang seorang abang kepada adik tidak pernah kurang, hingga la sekarang. Aisyah dah pun besar panjang, kan Irfan?
Sebagaimana kasihmu pada aisyah, begitu juga ummi dapat lihat kasih sayang yang sama dicurahkan kepada danish. Umur danish tak sampai sehari, tapi Irfan dan berani meribanya. Ummi sangat terharu, sayang!
Kehadiran danish menjadikan keluarga kita lebih besar. Namun, ummi bahagia bila melihat Irfan begitu pandai menjalankan peranan sebagai seorang anak sulung yang penyayang. Ni gambar ummi snap masa hari ke-7 ummi berpantang. Irfan tak kisah tak dapt tidur sebelah ummi sebab Irfan sekarang dah ada dua orang adik.
Harapan ummi, semoga Irfan terus menjadi abang yang baik, bertolak-ansur dan penyayang kepada adik-adik.
Semoga cita-cita Irfan untuk menjadi seorang Professor suatu hari nanti akan tercapai, Insya Allah!
Selamat ulang tahun kelahiran yang ke-6 Ahmad Irfan bin Azahan!
Ummi sayang kamu!

NuKilaN:

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails